JUN 2023

Sarawak Sasar 500 Jurutera Litar Bersepadu Menjelang 2027


KUCHING, 14 Jun 2023:  Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menyaksikan Majlis Pertukaran Perjanjian Kerjasama di antara Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sarawak yang mewakili Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bersama Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills), Melexis dari negara Belgium, X-Fab dari Jerman dan Cadence dari Amerika Syarikat.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang optimis dengan sasaran itu akan mengisi kebolehpasaran dalam empat bidang kejuruteraan berkaitan litar bersepadu bagi merealisasikan impian kerajaan negeri untuk meneroka sumber tenaga baharu dan sumber tenaga hijau.

Menurut beliau empat bidang yang terlibat merangkumi reka bentuk litar bersepadu, pelan litar bersepadu, pencetakan wafer (wafer fabrication) dan pengujian wafer (wafer testing).

“Tahniah kepada pihak Semiconductor Sarawak dan Kementerian (MEITD) kerana akan melatih anak Sarawak khasnya dan juga anak Malaysia dalam teknologi yang tinggi.

“Mereka (graduan) yang dikeluarkan akan dapat menguasai dan mengurus teknologi baru dalam litar bersepadu dan semikonduktor dan kita juga berjaya mencipta peluang pekerjaan dan memperkembangkan bakat kemahiran tempatan,” kata beliau.

Turut menyaksikan adalah, Timbalan Menteri MEITD Datuk Roland Sagah, Timbalan Menteri 1 MEITD Datuk Dr. Annuar Rapaee dan Timbalan Menteri 2 MEITD Datuk Francis Harden.

SMD pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Shariman Jamil manakala CENTEXS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman dan Sarawak Skills menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya Hallman Sabri.

Perjanjian kerjasama itu, menyaksikan Sarawak menerusi MEITD akan melancarkan program perintis ‘Train-the-Trainers’ dengan menawarkan empat kursus bagi melatih 44 graduan dari Sarawak dalam bidang Reka bentuk Litar Bersepadu, 44 graduan dalam bidang Water Fabrication, 10 graduan dalam bidang Wafer Testing dan lima calon pelajar peringkat Sarjana dan PhD dalam bidang berkaitan setiap tahun.

Sumber dari : Sarawakku